Arab Saudi syor ‘lockdown’ di Arafah

WhatsApp Image 2025 05 25 at 11.04.14 AM

MOHD. HISHAM (depan, lima dari kanan) bergambar bersama petugas wanita sempena Perhimpunan Petugas Haji bersama Ketua Rombongan Haji di Abraj Al Janadriyah, Mekah semalam.

MEKAH – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengesyorkan pelaksanaan ‘lockdown’ pergerakan jemaah berhubung risiko strok haba berikutan cuaca panas dijangka mencecah 50 darjah Celsius di Arafah dan Mina pada waktu kemuncak Masyair.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, makluman itu diterima melalui kumpulan WhatsApp Ketua-Ketua Rombongan Haji seluruh negara dan juga ketika pertemuannya dengan Timbalan Menteri Kerjasama Antarabangsa, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Hassan Yahya Al-Manakhrah.

“Nasihat itu selaras dengan arahan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang mengesyorkan pelaksanaan ‘lockdown’ pergerakan jemaah di kawasan Arafah dan Mina sebagai langkah pencegahan risiko strok haba.

“Beliau (Dr. Hassan) menekankan agar kerjasama penuh diberikan kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan pengendali tempatan, Masyarik bagi memastikan jemaah kekal berada dalam khemah dan tidak keluar ketika cuaca panas terik,”katanya.

Beliau ditemui selepas Perhimpunan Petugas Haji Bersama KRH di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH), Abraj Al Janadriah, di sini semalam.

Dalam pada itu, ujarnya, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut menyarankan agar jemaah haji kekal berada di dalam khemah masing-masing antara pukul 10 pagi hingga 4 petang semasa Hari Wukuf.

“Jemaah tidak digalakkan untuk keluar ke kawasan terbuka seperti Masjid Namirah bagi mendengar Khutbah Arafah secara fizikal.

“Sebagai langkah alternatif, pihak berkuasa Arab Saudi telah meminta agar skrin bersaiz besar disediakan di kawasan khemah jemaah untuk menonton siaran langsung Khutbah Arafah,”katanya.

Beliau turut menyeru agar semua petugas haji bersiap sedia dari segi mental, fizikal serta emosi dalam operasi kemuncak haji khususnya di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Fokus utama TH adalah untuk memastikan semua jemaah haji Malaysia dapat menunaikan wukuf di Arafah kerana haji itu Arafah.

“Bagi jemaah yang sedang dirawat, kita akan laksanakan kaedah ‘safari wukuf’, iaitu membawa mereka menaiki bas ke Arafah untuk berhenti sekurang-kurangnya satu hingga dua jam sebelum kembali ke pusat rawatan,”tambahnya.