Arab Saudi hasil minuman cola luar biasa

Geli Cola

MINUMAN Milaf Cola diperbuat daripada kurma. – Foto Milaf Cola/X

RIYADH – Arab Saudi melancarkan minuman cola luar biasa diperbuat bukan daripada sirap jagung atau gula tebu, sebaliknya  berasal daripada buah kurma, lapor portal berita Independent hari ini.

Dinamakan Milaf Cola, minuman itu dihasilkan oleh Thurath Al-Madina yang merupakan  anak syarikat Dana Pelaburan Awam Arab Saudi.

Minuman itu dilancarkan pada  Festival Kurma Riyadh oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Bander Al-Qahtani dan Menteri Pertanian Arab Saudi, Abdulrahman Al-Fadley baru-baru ini.

Ramuan cola itu adalah kurma premium yang penuh dengan serat, antioksidan dan mineral penting seperti magnesium serta kalium untuk manfaat kesihatan.

Milaf Cola dikatakan tidak mengandungi gula tambahan sebagai alternatif lebih sihat kepada soda konvensional.

Pelancaran cola itu selaras dengan inisiatif  lebih meluas untuk memperjuangkan produk tempatan yang mapan dan sejajar dengan Wawasan 2030 Arab Saudi.

Wawasan 2030 ialah sebuah program bertujuan untuk mencapai matlamat peningkatan kepelbagaian negara dari segi ekonomi, sosial dan budaya. – AGENSI