Anwar ucap tahniah Liek Hou rangkul emas pertama Paralimpik Paris

Liek Hou

Liek Hou muncul juara menerusi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Paris 2024 yang berlangsung malam tadi.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucap tahniah kepada jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou yang menyumbang pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Paralimpik Paris 2024 malam tadi (waktu tempatan).

Liek Hou muncul juara menerusi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) sekali gus mempertahankan pingat emas yang dirangkul pada Paralimpik Olimpik lalu.

Anwar menerusi hantarannya berkata, pencapaian itu sangat membanggakan kerana telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Kita beroleh pingat emas pertama di #Paralympic2024! Lebih membanggakan kerana saudara Cheah Liek Hou berjaya mempertahankan pingat emas yang dirangkul pada Paralimpik Olimpik lalu.

“Tahniah! Saudara mengharumkan nama Malaysia di persada dunia!,”katanya sambil menyertakan tanda pagar #KitaSemuaTeamMAS.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris malam tadi (waktu tempatan), juara dunia lapan kali itu tidak berdepan banyak masalah apabila menang 21-13, 21-15 ke atas pemain Indonesia, Suryo Nugroho dalam tempoh 42 minit.

Kemenangan itu turut menyaksikan Liek Hou meraih pingat emas kedua berturut-turut pada temasya sukan terbesar dunia tersebut, sekali gus mempertahankan emas yang dimenangi di Tokyo, Jepun tiga tahun lalu.

Sebagai rekod, di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), Liek Hou bakal menikmati habuan RM1 juta selaku pemenang pingat emas Sukan Paralimpik, sama seperti yang diterima ketika menjadi juara pada Paralimpik Tokyo sebelum ini. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *