Amorim punca bilik persalinan Sporting bergolak

SPORTING LISBON

HJULMAND (kiri) dan Gyokeres antara pemain yang berang apabila Amorim dilapor bersedia untuk meninggalkan Sporting. – AFP

LISBON – Beberapa pemain Sporting Lisbon dilaporkan kecewa dan marah kepada pengendali pasukan itu, Ruben Amorim yang bersiap sedia meninggalkan kelab itu selepas hanya melalui sembilan aksi Liga Portugal musim ini.

Laporan media di Portugal mendedahkan, dua pemain, Viktor Gyokeres dan Morten Hjulmand menjadi antara pemain yang tidak gembira apabila Amorim membuat keputusan menerima tawaran daripada Manchester United.

Menurut laporan tersebut, kedua-dua mereka sebelum ini menerima banyak tawaran pada jendela perpindahan musim panas lalu, namun menolaknya kerana mahu kekal membantu Amorim dan Sporting mempertahankan kejuaraan Liga Portugal.

Amorim sebelum ini mendedahkan beliau mungkin memilih United yang memecat Erik Ten Hag selepas kelab itu sanggup menebus kontraknya sekali gus menyebabkan peminat yang menuduhnya sanggup mengabaikan Sporting.

Bekas pengerusi mesyuarat agung Sporting, Jaime Marta Soares mendakwa, reputasi cemerlang Amorim yang membantu kelab itu meraih dua gelaran domestik sebelum ini akan tercalar dengan keputusannya meninggalkan mereka untuk bersama United.

“Sikap dan personaliti Amorim akan dipandang serong. Kesungguhan, keinginan dan dedikasinya kepada Sporting sebelum ini hanya akan dianggap sebagai fantasi. Beliau tidak sepatutnya ‘meludah ke pinggan yang memberinya makanan’.

“Saya adalah peminat Ruben Amorim, tetapi perkara ini sepatutnya tidak berlaku. Beliau mencipta namanya di Sporting dan perlu mengenang jasa para peminat yang mengangkatnya berbanding memikirkan glamour dan keuntungan,” jelasnya. – AGENSI