Ambulans langgar lampu merah, rempuh penunggang motosikal 

ambulans langgar

Gambar menunjukkan sebuah ambulans yang merempuh sekumpulan penunggang motosikal di Thailand. – Khaosod

BANGKOK – Sebuah ambulans mengundang kontroversi kerana membunyikan siren walaupun tidak membawa pesakit sebelum melanggar lampu merah dan merempuh beberapa penunggang motosikal, lapor portal berita Must Share News semalam. 

Kejadian berlaku sekitar pukul 8.25 malam (waktu tempatan) di sebuah lebuh raya menghubungkan Chiang Mai dan Lampang, 

Rakaman pengawasan yang dimuat naik di media sosial menunjukkan ambulans itu dipandu laju dari arah bertentangan sebelum melanggar lampu merah dan merempuh sekumpulan penunggang motosikal. 

Ambulans itu tidak membawa pesakit semasa kejadian, demikian menurut pihak berkuasa. 

Empat orang dilaporkan cedera termasuk seorang wanita yang mengalami kecederaan serius.

Kesemua mangsa dibawa ke hospital berdekatan, namun wanita itu disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. 

Ramai pengguna media sosial mengecam ambulans tersebut kerana dipandu secara laju dan melanggar lampu merah meskipun tidak membawa pesakit. – AGENSI