JOHOR BAHRU – Seorang warga emas yang merupakan pemilik sebuah syarikat swasta kerugian RM1.8 juta setelah terpedaya dengan skim pelaburan atas talian palsu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mangsa lelaki tempatan berusia 66 tahun itu membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut, semalam.
Katanya, mangsa mula mengetahui tentang pelaburan yang mendakwa mampu memberikan pulangan tinggi dalam waktu singkat itu sejak Oktober tahun lalu.
“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa menekan pautan diberi bagi mendapatkan maklumat lanjut. Mangsa ditawarkan keuntungan hingga 200 peratus hanya dalam tempoh tiga bulan.
“Percaya dengan tawaran tersebut, mangsa membuat beberapa transaksi kewangan ke beberapa akaun bank berbeza antara November 2024 hingga Januari tahun ini berjumlah RM1.8 juta,”katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumar, mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila selepas tiga bulan berlalu masih tiada pemakluman tentang keuntungan daripada pelaburan yang telah dibuatnya.
“Sebaliknya, mangsa gagal menghubungi suspek yang terlibat selepas beberapa kali mendesak bagi mendapatkan penjelasan tentang pelaburan dibuat.
“Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”ujarnya sambil meminta orang ramai berwaspada dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.- https://amiminerals.org/