MOSCOW – Seorang Ahli Parlimen Russia dipecat selepas dia didapati ponteng kerja selama kira-kira dua tahun tanpa mengemukakan alasan kukuh, lapor laman berita RT semalam.
Yuri Napso daripada Parti Liberal Demokratik (LDPR) dipecat selepas siasatan dalaman dilakukan oleh Duma Negara iaitu dewan rendah Parlimen Russia.
Pemecatan itu dibuat dengan keputusan tersebut disokong oleh 345 Ahli Parlimen daripada 450 anggota Duma Negara.
Sebahagian besar anggota Parlimen LDPR dan Parti Komunis Russia (KPRF) tidak mengundi.
Napso tidak hadir di sidang Parlimen bermula pada April 2023 dan telah menetap di Emiriyah Arab Bersatu.
“Setiap Ahli Parlimen mempunyai status undang-undang khas yang perlu melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan mereka,” tegas badan perundangan itu.
Napso bagaimanapun mengutuk pemecatannya itu dengan menyatakan bahawa pihak pentadbiran Duma mencampurkan cuti sakit dan tanpa gaji, menyebabkan dia dianggap ponteng kerja. – AGENSI