Agrobank rangkul 6 anugerah MRPA 2024

Agrobank

Ketua Pemasaran dan Komunikasi Agrobank, Intan Syazwani Isa (dua dari kiri) menerima Anugerah MRPA 2024 dalam majlis yang diadakan baru-baru ini.

PETALING JAYA – Agrobank merangkul enam anugerah berprestij menerusi kempen dan inisiatif perhubungan awamnya dalam Majlis Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MRPA) 2024, baru-baru ini.

Anugerah dimenangi termasuk Anugerah Pembangunan Penjenamaan Produk (B2C), Anugerah Komunikasi Syarikat melalui inisiatif Program Kesejahteraan Pekerja Agrobank Wellness at Work (W@W), dan Anugerah Hal Ehwal Awam melalui Program Rakan Tani Muda 2023.

Agrobank turut menerima Anugerah Komunikasi Kewangan menerusi program Agrobank Memperkasa Komuniti Tanpa Tunai melalui Inisiatif Inovasi Kewangan Penjaja Cashless, Kandungan Terbaik melalui Kempen Mega Million Raya, serta Kandungan Media Sosial Terbaik menerusi Agro Pro.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kemenangan berkenaan memberi penghargaan kepada usaha keras dan komitmen berterusan bank dalam memperkasakan perhubungan awam serta meningkatkan kesedaran awam tentang mandatnya.

Jelasnya, ini termasuk dalam memastikan pendekatan holistik bagi produk-produk perbankan dan perkhidmatan, menerusi pelan komunikasi dan kempen-kempen perhubungan awam yang berkesan.

“Dengan kemenangan ini, Agrobank berhasrat untuk terus meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan serta komunikasi dengan pihak berkepentingan.

“Pengiktirafan ini juga simbolik inisiatif kami dalam mempelbagaikan saluran komunikasi bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat khususnya pelanggan kami mengenai manfaat-manfaat yang dapat ditawarkan oleh Agrobank,” katanya dalam kenyataan. – https://amiminerals.org/