IMPIAN untuk menyertai revolusi pasukan kebangsaan tidak pernah padam buat tonggak pertahanan Sri Pahang, Adam Nor Azlin yang menaruh harapan aksi tangkasnya pada final Piala Malaysia mendapat perhatian barisan kejurulatihan Harimau Malaya.
Kali terakhir Adam dipanggil perkuatkan pasukan kebangsaan adalah pada 2020 dan pemain kelahiran Klang, Selangor itu menganggap ia adalah tempoh yang panjang buatnya untuk kembali menabur bakti buat negara tercinta.
“Apa yang boleh saya katakan saya hanya mengikut perancangan jurulatih (Fandi Ahmad) dan saya cuba buat apa yang termampu. Selepas itu terpulang kepada barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk menilai pemain yang mereka mahukan.
“Apa yang saya boleh buat adalah cuba beraksi baik dalam setiap perlawanan dan bagi saya bukan saya saja yang ingin bermain dengan skuad negara. Secara peribadi saya pun ada keinginan, tetapi biarlah jurulatih yang menilai saya layak atau tidak,”katanya.
Pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu, Adam menjadi antara pemain yang menyerlah bersama pemain muda Tok Gajah, Ibrahim Manusi hingga ada yang berpendapat layak untuk diberikan peluang bersama pasukan kebangsaan.
“Segala pujian yang saya terima sebab Allah bagi, saya pun tidak boleh bantu pasukan secara berseorangan,”katanya mengulas tentang komen positif penyokong terhadap prestasinya pada aksi final.