PUNCAK ALAM – Abang sulung Allahyarham Nidza Afham iaitu Muhammad Nidza Irfan, 33, menemui folder dalam komputer riba adiknya yang mengandungi makna-makna dalam solat.
Menurut Irfan, sejak kebelakangan ini, adiknya itu acapkali bertanya tentang persediaan untuk menjadi suami.
“Semenjak dia bekerja dengan saya, dia mula bertanya di mana tempat untuk dia menyimpan duit untuk pelaburan.
“Dia juga sedang mencari-cari lokasi menarik untuk majlis resepsi.
“Disebabkan dia dalam persiapan untuk menjadi seorang suami, saya lihat dalam komputer ribanya ada folder khas yang memuatkan makna-makna dalam solat. Mungkin dia nak solat lebih khusyuk. Dalam telefon bimbitnya juga ada,” katanya ketika ditemui usai selesai majlis pengebumian, di sini, semalam.
Dilihat gagal menahan sebak saat adiknya disemadikan sehingga terpaksa ditenangkan oleh ibunya, kata Irfan, dia akan merindukan gurau senda adik kesayangannya itu.
“Saya akan rindu cara gelak dia. Cara dia bergurau. Dia suka tambah ‘minyak’ kalau kita gurau adik-beradik.” katanya dalam nada sebak.
Tambahnya lagi, dia sekeluarga reda dengan pemergian Afham dan akan cuba sedaya upaya untuk untuk terima kehilangan ini dan hanya akan mengingati memori indah bersama.
“Semua memori yang ditinggalkan oleh arwah indah-indah belaka. Memori indah itu kami tak akan tukar kepada memori sedih,” ujarnya.
Semalam, Allahyarham Nidza Afham Mokhtar, 23, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam kira-kira jam 6.45 petang.
Polis mengklasifikasikan kes Nidza sebagai mati mengejut (SDR).
Pada Rabu, polis mengesahkan mayat yang ditemui terapung di sekitar Jambatan Sungai Klang ialah Nidza Afham yang dilaporkan hilang selepas berjoging di Stadium Sultan Sulaiman malam Selasa lalu. – Iteenews