9 juta penduduk Britain miskin tegar

London makanan

Orang ramai berjalan melepasi gelandangan di Regent Street, tengah London pada 1 Januari lalu. – AFP

LONDON – Sebanyak 9.3 juta penduduk Britain mengalami tahap kemiskinan dan kelaparan teruk sehingga mereka terpaksa bergantung kepada pemberian makanan badan-badan kebajikan, demikian menurut satu kajian yang didedahkan akhbar The Guardian kelmarin.

Kajian oleh sebuah badan kebajikan, Trussell itu mendapati, pertumbuhan pesat bilangan isi rumah yang miskin tegar dalam beberapa tahun kebelakangan ini bermaksud mereka kerap bergelut untuk membeli makanan, peralatan pemanasan, pakaian dan asas harian yang lain.

Ia telah mendorong kebergantungan kepada bank makanan sehingga mencatatkan rekod baharu di Britain.

Ketua Eksekutif Trussell, Emma Revie berkata: “Sekarang sudah tahun 2024 dan kami menghadapi tahap keperluan bank makanan yang tertinggi dalam sejarah. 

“Sebagai masyarakat, kita tidak boleh membiarkan perkara ini berterusan. Kita tidak boleh membiarkan bank makanan menjadi norma baharu,” ujarnya.

Kajian sama turut mendapati bahawa sebahagian besar daripada 58 peratus orang yang menghadapi kelaparan dan kesusahan berada dalam rumah di mana sekurang-kurangnya seorang bekerja. 

Selain itu, seramai tiga juta kanak-kanak di Britain mengalami kelaparan dan kesusahan dengan hampir satu perempat daripada mereka yang berusia bawah empat tahun menghadapi kemiskinan tegar.

“Lebih mengejutkan, 46 peratus lagi kanak-kanak menghadapi kelaparan dan kesusahan berbanding dua dekad lalu. Ia bersamaan dengan satu daripada lima kanak-kanak yang membesar, terperangkap dalam situasi ini,” tambah kajian berkenaan.

Laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) tahun lalu mendapati, Britain yang merupakan negara ekonomi keenam terbesar dunia, mempunyai satu daripada kadar kemiskinan kanak-kanak tertinggi dalam kalangan negara-negara kaya. –  AFP/AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *