JEMPOL – Lima maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 6, Jalan Bahau-Rompin, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kemalangan yang berlaku pada pukul 9.05 malam itu membabitkan sebuah kereta Perodua Axia, sebuah kereta Toyota Mark X dan sebuah pikap Ford Ranger.
Katanya, ketika kereta Perodua Axia yang dipandu oleh seorang guru lelaki berusia 31 tahun tiba di lokasi kejadian, kereta Toyota Mark X yang dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun hilang kawalan dan memasuki bertentangan dan bertembung dengan Perodua Axia terbabit.
Katanya, pertembungan itu menyebabkan kereta Axia tersebut berpusing sebelum dirempuh oleh trak pikap Ford Ranger yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun dari arah belakang.
“Guru tersebut memandu bersama tiga pelajarnya berusia 16, 18 dan 19 tahun dari arah Rompin menuju Bahau.
“Akibat kemalangan ini, pemandu kereta Axia bersama dua orang penumpang serta pemandu Toyota Mark X mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta kaki dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Seorang lagi penumpang belakang kereta Perodua Axia telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Chang Hook berkata, pemandu pikap tidak mengalami apa-apa kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahayakan. – https://amiminerals.org/