5 graduan universiti rela jadi pemandu bas, gaji RM17,000 sebulan

Drebar

GAMBAR fail menunjukkan sebuah bas di Singapura. – Foto AFP

SINGAPURA – Tawaran gaji lumayan sehingga SG$5,000(RM17,350) oleh sebuah syarikat bas tempatan menarik lebih 1,400 permohonan setakat ini, hampir separuh daripada mereka ialah rakyat Singapura atau penduduk tetap.

Syarikat bas swasta, Westpoint Transit telah mengumumkan pengambilan pekerja baharu pada Disember tahun lalu dengan menawarkan gaji sekurang-kurangnya SG$3,500 (RM12,144) untuk pemandu bas saiz sederhana dan SG$5,000 bagi bas sewa khas 45 tempat duduk.

Mereka yang diambil bekerja turut menerima bonus pengambilan berjumlah SG$7,500(RM26,000) hingga SG$10,000 (RM34,698) bergantung kepada saiz bas.

Calon yang berjaya juga perlu bekerja dengan syarikat berkenaan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.

Menurut akhbar Shin Min Daily News,  semua 30 calon yang berjaya setakat ini ialah warga Singapura termasuk lima graduan universiti.

Antara mereka ialah graduan Institut Teknologi Singapura(SIT), Aeneas Liow yang menyertai syarikat itu pada Februari lalu.

Berusia 28 tahun, Liow ialah pekerja Westpoint paling muda setakat ini.

“Ayah saya menyokong pilihan kerja saya tetapi ibu menyatakan kerja ini agak sukar dan panjang. Namun, inilah pilihan saya,  lagi pun semua pekerjaan mempunyai kesukarannya tersendiri,” kata Liow.

Sementara itu, pengarah Westpoint, Lionel Lee berkata, syarikat berkenaan telah menerima 1,478 permohonan setakat ini.

“45 peratus ialah warganegara  atau penduduk tetap Singapura,” katanya.

Menurut Lee, 45 peratus pemohon lain adalah dari Malaysia, manakala bakinya pula dari China, India, Myanmar dan beberapa negara lain. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *