42 mati bertempur merebut tanah

42

GAMBAR fail menunjukkan sebuah kawasan di Kurram, wilayah Khyber Pakhtunkhwa di Pakistan. – AGENSI

ISLAMABAD –  Sekurang-kurangnya 42 orang terbunuh dalam perbalahan antara puak melibatkan isu pemilikan tanah di barat laut Pakistan, kata beberapa  pegawai hari ini sambil menambah, pertempuran yang tercetus melibatkan penggunaan mesingan dan mortar.

Perselisihan setempat adalah perkara biasa di Pakistan tetapi ia boleh berlarutan dan menjadi ganas di kawasan pergunungan Khyber Pakhtunkhwa, di mana masyarakat mengutamakan etika dan maruah.

Puak Sunni Muslim Madagi dan Syiah Mali Khel bertempur sejak Rabu minggu lalu selepas  seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah majlis yang merundingkan pertikaian selama berdekad-dekad mengenai tanah pertanian, kata pegawai polis tempatan, Murtaza Hussain.

Tiada siapa cedera tetapi Hussain berkata, serangan itu mencetuskan semula ketegangan agama yang berpanjangan antara puak. Kedua-dua puak itu tinggal berjiran di daerah Kurram, berhampiran sempadan Afghanistan.

“Gencatan senjata dicapai di daerah Kurram melalui usaha kerajaan. Bagaimanapun, tembakan diteruskan pada waktu lewat malam,” kata seorang pegawai kanan kementerian dalam negeri Khyber Pakhtunkhwa.

Beliau berkata,  polis tempatan meletakkan angka kematian pada 42 orang yang mana kesemua mereka lelaki, manakala 183 yang lain cedera  termasuk beberapa wanita.

Puak-puak  yang bertempur itu mematuhi adat dan kod kehormatan untuk tidak menyasarkan wanita, kanak-kanak dan rumah.

Pakistan adalah negara majoriti Sunni di mana pengikut Syiah sering berdepan diskriminasi dan keganasan. – AFP 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *