LONDON – Empat penyeludup dadah menyamar sebagai nelayan dalam usaha membawa masuk kokain bernilai £100 juta (RM575 juta) ke Britain, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Keempat-empat penjenayah itu ditangkap pada 13 September tahun lalu, manakala seorang daripada mereka sedang tidur di atas kerusi di dalam bot nelayan ketika serbuan dilakukan.
Michael Kelly, 45, dari Portway, Manchester, dan Jake Marchant, 27, tidak beralamat tetap, mengaku bersalah mengimport dadah berat semasa perbicaraan di Mahkamah Truro Crown pada Oktober tahun lalu.
Dua lagi lelaki, Jon Williams, 46, dan Patrick Godfrey, 31, kedua-dua mereka dari Swansea, disabitkan dengan pertuduhan itu ketika dibicarakan di mahkamah sama.
Mereka akan dijatuhkan hukuman pada Mei ini.
Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) yang menyiasat kes itu berkata, 1,076 kilogram kokain ketulenan tinggi ditemui di dalam bot nelayan berkenaan, Lila Lola.
Kapal Pasukan Pengawal Sempadan, HMC Valiant sedang meronda di luar pantai utara Cornwall dan mengerahkan bot lebih kecil untuk memintas Lila Lola pada hari serbuan dibuat. – AGENSI