4 maut, helikopter langgar hospital

4 maut helikopter terhempas

Gambar menunjukkan bangkai helikopter yang terhempas di Hospital Latihan dan Penyelidikan di daerah Mentese. – AGENSI

ANKARA – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh apabila sebuah helikopter jatuh di atas  sebuah hospital di wilayah Mugla, barat daya Turkiye, lapor agensi berita Anadolu semalam. 

Gabenor Mugla, Idris Akbiyik berkata, mangsa yang terbunuh termasuk dua juruterbang, seorang doktor dan seorang petugas kesihatan. 

“Helikopter itu terhempas di bangunan Hospital Latihan dan Penyelidikan di daerah Mentese, Mugla,” tambah Akbiyik. 

Menerusi catatan di laman X, Presiden Recep Tayyip Erdogan menyatakan kesedihannya atas kematian yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. 

“Pasukan bomba, petugas kesihatan, polis serta Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) telah dikerahkan ke tempat kejadian. 

“Tiada kerosakan di dalam hospital, manakala punca nahas sedang disiasat,” tambah Erdogan. – AGENSI