4 lelaki ditahan cuba seludup semut

seludup semut

Semut-semut dimasukkan ke dalam tabung uji yang disumbat dengan kapas. – KWS

NAIROBI – Empat lelaki mengaku bersalah kerana cuba menyeludup keluar beratus-ratus ekor semut yang mendapat permintaan tinggi di pasaran dari Kenya, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Ia termasuk semut penuai gergasi Afrika, yang dinilai oleh beberapa peniaga mencecah AS$220 (RM970) setiap seekor.

Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS) berkata, suspek menyembunyikan serangga-serangga itu di dalam tiub tabung uji dan picagari yang diubah suai bagi membolehkan ia bertahan selama dua bulan.

Gambar-gambar yang dikongsikan oleh KWS menunjukkan ratusan tabung uji disumbat dengan bulu kapas, setiap satu daripadanya diisi dengan dua atau tiga ekor semut.

Jumlah sebenar serangga terlibat masih dinilai tetapi jurucakap KWS, Paul Udoto berkata, ia adalah kes pertama seumpamanya berlaku di Kenya dalam skala tersebut.

Keempat-empat suspek terdiri daripada dua warga Belgium, seorang rakyat Vietnam dan seorang warga tempatan.

Haiwan-haiwan itu dipercayai mahu diseludup ke pasaran haiwan peliharaan eksotik di Eropah dan Asia. – AGENSI