4 askar UNIFIL cedera di Lebanon terkena bedilan roket

RAMIA scaled

ASAP menjulang ke udara selepas Israel membedil kawasan kampung Ramia dan Marwahin di selatan Lebanon pada 21 Februari lalu. – AFP

BEIRUT – Tentera Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon(UNIFIL) memaklumkan bahawa 4 askarnya cedera semalam apabila sebuah roket dipercayai ‘dilancarkan oleh pelaku bukan negara’, mengenai pangkalan mereka.

“Empat askar pengaman UNIFIL dari Ghana yang bertugas,  cedera selepas  roket mengenai pangkalan mereka di Kampung Ramia,” kata UNIFIL dalam satu kenyataan.

Sebuah lagi pangkalan UNIFIL di Shamma terkena bedilan lima peluru roket, manakala di tempat lain, seorang individu bersenjata melepaskan tembakan ke arah unit peronda tentera pengaman PBB tersebut, tambah kenyataan sama.

UNIFIL tidak memberikan butiran siapa yang bertanggungjawab ke atas dua insiden lain tersebut atau menyebut tentang angka kecederaan.

Kementerian Pertahanan Itali bagaimanapun berkata, kumpulan Hezbollah disokong Iran menyerang pangkalan UNIFIL di  Shamma selepas Menteri Pertahanan Guido Crosetto pada awalnya menyalahkan Israel.

Sejak 23 September lalu, Israel memperhebatkan kempen pengebomannya di Lebanon dan kemudian mengerahkan pencerobohan darat, selepas hampir setahun tentera Rejim Zionis dan pejuang Hezbollah berbalas tembakan di rantau sempadan.

Terdahulu semalam, jurucakap UNIFIL, Andrea Tenenti mengecam berbilang serangan  menyasarkan pangkalan dan askar  pengaman dalam pertempuran berlarutan selama setahun yang mengakibatkan lebih 20 anggota  UNIFIL cedera. – AFP