3 maut di tangan pembunuh kejam, 4 parah 

serangan pisau jerman

Gambar fail menunjukkan pegawai polis dan pasukan kecemasan di tempat kejadian. – AFP

BERLIN – Seramai tiga orang terbunuh dan empat yang lain cedera parah dalam insiden serangan pisau di sebuah festival di bandar Solingen, barat Jerman, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC). 

Kejadian berlaku semasa Festival of Diversity sempena ulang tahun ke-650 penubuhan bandar perindustrian tersebut semalam. 

Akhbar Bild melaporkan bahawa seorang lelaki menikam orang ramai secara rawak, manakala penyerang masih bebas. 

Polis melancarkan operasi besar-besaran untuk memburu suspek termasuk melakukan pengawasan menggunakan helikopter. 

Pihak berkuasa turut meminta orang ramai meninggalkan lokasi kejadian di Fronhof berikutan serangan kira-kira pukul 10 malam (waktu tempatan) itu.

Polis mengerahkan 40 kenderaan taktikal untuk memburu suspek dan disertai oleh unit komando.

Jalan-jalan raya disekat dan orang awam diminta berada di rumah ketika operasi memburu suspek dilakukan.

Seorang saksi berkata, dia sedar ada sesuatu  tidak kena apabila melihat ekspresi pelik pada  wajah penyanyi yang beraksi di pentas.

“Sejurus kemudian, seseorang rebah hanya 1 meter dari saya,” katanya.

Media Jerman melaporkan, penyerang dipercayai sengaja menikam mangsa di bahagian leher. 

Festival yang sepatutnya berlangsung selama tiga hari telah dibatalkan. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *