28 petugas Pilkada 2024 meninggal dunia

28 pegawai meninggal dunia scaled

Orang awam hadir ke sebuah pusat mengundi di Jakarta pada 27 November lalu. – AFP

JAKARTA – Sekurang-kurangnya 28 petugas meninggal dunia dengan sebahagian besarnya disebabkan keadaan berkaitan keletihan, selepas bertugas dalam Pilihan Raya Daerah (Pilkada) yang pertama kali diadakan secara serentak di seluruh Indonesia bulan lalu.

Portal berita Social News XYZ ketika memetik Timbalan Menteri Dalam Negeri, Bima Arya Sugiarto sebagai berkata, kematian itu direkodkan sehingga Ahad lalu. 

“Kebanyakan petugas meninggal dunia akibat keletihan dan serangan jantung,” kata Bima semasa mesyuarat di bangunan Parlimen. 

Lebih 204 juta rakyat Indonesia membuang undi di pusat-pusat mengundi seluruh negara dalam pilihan raya wilayah yang berlangsung serentak pada 27 November lalu. 

Mereka memilih gabenor, datuk bandar dan ketua daerah di 37 wilayah yang merangkumi 93 bandar dan 415 daerah, selain lebih 17,000 pulau dengan tiga zon waktu berbeza. 

Tambah Bima, lebih 700 petugas dan 70 penyelia meninggal dunia semasa Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2019. 

“Jumlah kematian menurun kepada 181 petugas dan 48 penyelia pada pilihan raya Pilpres 2024,” jelasnya. 

Bima turut berjanji bahawa pihaknya akan menjalankan penilaian lanjut bagi mengelak kejadian seperti itu daripada berulang pada masa hadapan. 

“Kami akan menambah baik sistem sama ada dari segi teknikal atau pentadbiran untuk kesejahteraan pada masa hadapan,” tambahnya. – AGENSI