KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan terus menurun kepada 2,268 orang hari ini berbanding 6,842 pada semalam.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, kesemua mangsa itu terdiri daripada 655 keluarga yang ditempatkan di empat buah PPS di Tumpat dan Pasir Mas.
“2,199 mangsa berlindung di tiga buah PPS di Tumpat iaitu Maktab Rendah Sains Mara Tumpat, Dewan Komuniti Tumpat dan Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.
“Hanya 69 mangsa ketika ini masih berada di Sekolah Kebangsaan Gual To’ Deh, Rantau Panjang dekat Pasir Mas,” katanya.
laman web Public Info Banjir melaporkan, Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat masih melepasi paras bahaya.
Dua lagi sungai iaitu Sungai Sokor di Tanah Merah dan Sungai Golok, Rantau Panjang mencatatkan bacaan amaran.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam satu kenyataan berkata, amaran banjir kepada hampir 30 kampung yang terletak dalam radius lima kilometer berhampiran Sungai Galas, Sungai Lebir dan Sungai Pahi di Kuala Krai dijangka bermula esok hingga Jumaat.
Aamaran itu dikeluarkan JPS susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada Khamis lalu.
Antara kampung terbabit di kawasan Sungai Galas ialah Kampung Mambong, Kampung Dabong, Kampung Kemubu, Kampung Kuala Gris, Kampung Bahagia dan Kampung Biak.
Di Sungai Lebir, kampung terbabit ialah Kampung Tualang, Kampung Bekok, Kampung Manik Urai, Kampung Gajah, Kampung Laloh dan Kampung Karangan.
Selain itu, Kampung Manjor, Kampung Mesek, Kampung Baru Sungai Mengkuang, Kampung Temiang, Kampung Cheneh, Lata Rek, Kampung Lela Jasa, Kampung Budi dan Kampung Sungai Sam.
Kampung yang dijangka berlaku banjir di sekitar Sungai Pahi pula ialah Kampung Batu Mengkebang, Kampung Pahi, Kampung Gatal, Taman Perisai Wira, Dusun Damar, Kampung Belanga, Kampung Sungai Pas dan Kampung Temalir. – https://amiminerals.org/