JUBA, SUDAN SELATAN – Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh selepas pesawat yang mereka naiki terhempas di Sudan Selatan, lapor agensi berita Anadolu semalam.
Pesawat itu terhempas sekitar pukul 10.30 pagi (waktu tempatan) selepas berlepas dari sebuah kawasan telaga minyak di negeri Unity menuju ke ibu negara Sudan Selatan, Juba.
Menteri Penerangan Sudan Selatan, Gatwech Bipal berkata, hanya seorang individu terselamat dalam nahas tersebut.
“20 orang disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi yang terselamat berada dalam keadaan kritikal. Mangsa dimasukkan ke sebuah hospital di negeri Unity.
“Antara mangsa yang terkorban termasuk dua warga China, dua warga Uganda dan seorang warga India,” tambahnya.
Tambah beliau, pesawat itu membawa pekerja dari syarikat minyak Greater Operating Company Ltd (GPOC).
Presiden Salva Kiir Mayardit mengarahkan siasatan terhadap nahas berkenaan. – AGENSI