PARIS – Dua atlet masing-masing dari Belgium dan Switzerland menarik diri daripada acara triathlon campuran akibat jatuh sakit selepas berenang di dalam Sungai Seine awal minggu lalu, lapor saluran berita CNN.
Menurut Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Belgium (COIB), keputusan itu diumumkan apabila salah seorang atlet terbabit, Claire Michel jatuh sakit selepas berenang dalam Sungai Seine pada acara wanita, Rabu lalu.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan penyakit yang dihadapi Michel.
“COIB dan Triatlon Belgium mengumumkan bahawa ‘Belgian Hammers’ tidak akan mengambil bahagian dalam acara triathlon campuran di Sukan Olimpik Paris esok. Keputusan dibuat selepas berunding dengan atlet kami.
“COIB dan Triatlon Belgium juga berharap apa yang berlaku akan menjadi pengajaran dalam pertandingan triathlon pada masa depan di Sukan Olimpik seperti menjamin hari latihan, hari dan format pertandingan yang mesti dijelaskan terlebih dahulu dan memastikan tiada ketidakpastian untuk atlet dan kakitangan sokongan,” kata jawatankuasa itu.
Sementara itu, pasukan Switzerland terpaksa menggantikan atletnya, Adrien Briffod yang menarik diri kerana jangkitan gastrousus kepada Simon Westermann.
Ketua Pegawai Perubatan Olimpik Switzerland, Hanspeter Betschart berkata tidak jelas sama ada jangkitan Briffod berkaitan dengan kualiti air di Sungai Seine.
“Tinjauan rakan sekerja saya dari negara lain setakat ini tidak mendedahkan sebarang pengumpulan penyakit gastrousus di kalangan atlet yang memulakan perlumbaan individu pada Rabu lalu,” kata Betschart.
Penganjur Sukan Olimpik Paris 2024 dalam satu kenyataan berkata kualiti air di Seine berada pada tahap ‘sangat baik’ untuk acara triathlon individu. – AGENSI