MELAKA – Sebanyak 14 laluan utama di sekitar Banda Hilir di sini akan ditutup secara berperingkat pada hujung minggu ini sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, penutupan sementara itu adalah bagi memberi laluan kepada acara perbarisan dan perarakan yang diadakan di hadapan pusat beli-belah Mahkota Parade di Jalan Merdeka.
“Penutupan jalan-jalan utama di sekitar tapak sambutan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam dua fasa iaitu sesi raptai dan persiapan tempat pada 28 dan 29 Ogos serta sambutan hari sebenar pada 31 Ogos.
“Pelaksanaan penutupan atau lencongan jalan semasa perarakan adalah melibatkan lampu isyarat Hotel Hatten yang mana aliran trafik dari Melaka Raya ke Jalan Parameswara ditutup semasa perarakan. Kenderaan hanya boleh belok kiri ke Jalan Melaka Raya,”katanya.
Tambahnya, laluan di belakang pusat Mahkota Parade juga ditutup dan pengguna jalan raya perlu menggunakan susur di Hotel Holiday Inn.
“Di simpang Menara Taming Sari, laluan ke Jalan Tun Khalil ditutup. Aliran trafik keluar dari Plaza Mahkota perlu melalui Jalan PM6 dan kontra di belakang Mahkota Parade ke Jalan Syed Abdul Aziz.
“Aliran trafik ke jam besar dilencongkan ke Jalan Banda Kaba dan Jalan Chan Koon Cheng (kontra) menghala ke simpang Hotel Equatorial dan laluan ke lampu isyarat Meng Seng dilencongkan ke Jalan Puteri Hang Li Po. Jalan Temenggong, laluan ke lampu isyarat Padang Nyiru ditutup,” jelasnya.
Katanya lagi, laluan lain ditutup adalah di Jalan Bunga Raya Pantai, simpang Jalan Kee Ann, simpang Jalan Tun Mamat dan simpang Jalan Graha Maju ke Jalan Hang Tuah.
Selain itu, simpang Jalan Kubu ke Jalan Hang Tuah dan ke Jalan Tan Chay Yan. – Iteenews