WASHINGTON – Sekumpulan 13 pendaki diselamatkan dari sebuah kawasan tanah tinggi di negeri Arizona pada pagi kelmarin ketika cuaca panas terik, lapor laman berita CNN.
Dalam misi menyelamat itu, sebuah helikopter digunakan untuk mengangkut seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ke hospital, demikian menurut pihak berkuasa.
Seorang kanak-kanak berusia 18 bulan dan 12 bulan turut dirawat di sebuah hospital kerana keletihan haba, kata pegawai.
Pada Jumaat lalu, suhu di bandar Scottsdale dalam negeri itu mencecah 42.2 darjah Celsius.
Kumpulan itu dilaporkan berada di bandar tersebut untuk satu majlis keluarga sebelum mereka mendaki di trek Gateway Loop.
Mereka mula mendaki pada kira-kira pukul 7.30 pagi (waktu tempatan) sebelum anggota bomba dikerah ke lokasi itu sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan) untuk menyelamatkan mereka.
“Keputusan untuk menggunakan helikopter dalam operasi menyelamat itu menunjukkan betapa seriusnya misi tersebut,” kata seorang pegawai bomba, Dave Folio. – AGENSI