JAKARTA – Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, manakala 50 lagi cedera dalam insiden letupan ketika aktiviti pemusnahan peluru tamat tempoh di Garut, wilayah Jawa Barat semalam, lapor laman berita Berita Satu.
Daripada jumlah mangsa yang maut, dua merupakan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Menurut laporan, sebilangan mangsa ditemukan dalam keadaan parah, bahkan ada yang hancur anggota badan akibat terkena letupan.
Polis dan anggota TNI melakukan proses menyelamat mangsa-mangsa serta membawa mereka ke hospital.
Penyelarasan rentas agensi terus dijalankan untuk memeriksa kawasan tersebut dan memastikan tiada peluru aktif tertinggal.
Insiden letupan itu dirakam menerusi sebuah video tular di laman Facebook.
Ia memaparkan asap tebal menjulang naik ke udara dan disusuli dengan bunyi dentuman sangat kuat.
“Detik letupan bom yang meragut nyawa,” tulis keterangan hantaran tersebut.
Suara letupan susulan yang mirip tembakan atau peluru juga terdengar setelah ledakan utama.
Penduduk tempatan yang menyaksikannya kelihatan panik dan menjerit akibat letupan. – AGENSI