13 korban banjir, tanah runtuh di Sumatera Utara

banjir indo flash

Pasukan penyelamat sedang melakukan pencarian mangsa yang terjejas akibat banjir kilat di Deli Serdang, wilayah Sumatera Utara. – ANTARA

JAKARTA – Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban dan 18 lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh dan banjir kilat yang melanda dua daerah di wilayah Sumatera Utara, lapor portal berita Pune News semalam. 

Ketua Unit Kecemasan, Peralatan dan Logistik Badan Nasional  Pengurusan Bencana (BNPB), Sri Wahyuni ​​Pancasilawati berkata, bencana tersebut berlaku di Deli Serdang dan Karo, malam Sabtu lalu.

“Di Deli Serdang, kira-kira enam orang terbunuh,  manakala sembilan penduduk cedera selepas arus deras menghanyutkan empat buah rumah dan sebuah bangunan keagamaan.

Di Karo pula, bencana serupa mengakibatkan tujuh orang terkorban dan sembilan yang lain cedera. Semua mangsa cedera dibawa ke hospital dan klinik kesihatan berdekatan untuk rawatan lanjut,” kata Sri. 

Tanah runtuh dan banjir kilat turut melanda daerah Padang Lawas dan Tapanuli Selatan di wilayah sama awal Sabtu lepas yang mengorbankan enam orang, manakala tujuh lagi cedera. 

Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia mengeluarkan amaran cuaca ekstrem dan menjangkakan intensiti hujan melebihi paras normal di rantau tersebut.

“Usaha sedang dilakukan untuk membantu komuniti terjejas dan mengurangkan risiko selanjutnya sementara pihak berkuasa terus memantau rapi situasi semasa,” tambahnya. – AGENSI