12 lagi rakyat Malaysia tiba dari Lebanon hari ini

wisma putra

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri mengesahkan enam sekeluarga rakyat Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Lebanon, hari ini.

Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, pada masa sama, enam lagi rakyat Malaysia turut dijadualkan tiba di Malaysia pada malam ini.

“Ini menjadikan jumlah rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang berjaya dievakuasi keluar dari Lebanon dalam tempoh dua hari lalu seramai 17 orang.

“Walaupun keadaan semakin mencabar di Lebanon, Kedutaan Besar Malaysia di Beirut telah berjaya mengaturkan penerbangan pulang ke Malaysia bagi semua baki rakyat Malaysia yang masih berada di sana,” katanya hari ini.

Jelas Wisma Putra, semua mereka dijangka tiba di Malaysia secara berperingkat pada hari Isnin dan Selasa minggu ini.

Sebelum ini, Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan segera dan tegas dalam menghentikan serangan kejam rejim Israel yang sedang berlaku di Palestin dan Lebanon bagi melindungi orang awam.

Kementerian Luar berkata, masyarakat antarabangsa perlu bertindak secara bersama dengan segera.

Tegas Wisma Putra, dalam hal ini Malaysia menggesa UNSC melaksanakan tanggungjawab berlandaskan piagamnya bagi menamatkan kitaran keganasan ini.

“Pendekatan diplomatik dan komitmen terhadap dialog adalah penting dalam memastikan keamanan yang berkekalan di rantau ini.

“Memandangkan keadaan yang semakin meruncing, kami menggesa semua rakyat Malaysia di Lebanon supaya membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara berkenaan secara sukarela,” katanya. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *