1,000 rumah hangus terbakar

kebakaran manila

Penduduk dan anggota bomba memadam kebakaran di Tondo, Manila semalam. – AFP

MANILA – Satu kebakaran besar berlaku di ibu kota Filipina, Manila, melibatkan sebuah kawasan setinggan yang dibina padat, lapor akhbar Metro UK semalam.

Jabatan Bomba Daerah Manila berkata, kira-kira 1,000 rumah hangus sepenuhnya dalam kebakaran itu, menyebabkan beribu-ribu orang hilang tempat tinggal.

Setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa akibat  kebakaran itu. Api dipercayai bermula di tingkat dua sebuah rumah.

Rakaman menggunakan dron menunjukkan rumah-rumah di perkampungan Isla Puting Bato tersebut musnah.

Menurut jabatan bomba tempatan, kawasan setinggan  itu menempatkan lebih 2,000 keluarga.

Seorang penduduk setempat, Leonila Abiertas berkata, dia kehilangan hampir semua harta benda dalam kebakaran itu tetapi bernasib baik dapat menyelamatkan abu mayat mendiang suaminya.

“Saya benar-benar tidak tahu bagaimana untuk memulakan hidup baharu selepas kebakaran ini,” ujarnya.

Inspektor Kanan Alejandro Ramos yang merupakan ketua risikan dan penyiasatan Jabatan Bomba Manila berkata, kebanyakan rumah diperbuat daripada bahan ringan dan mudah terbakar, menjadikan api merebak dengan sangat cepat.

Tentera Udara Filipina mengerahkan dua pesawat untuk membantu usaha memadam kebakaran, yang mengambil masa lapan jam untuk dipadamkan, lapor berita tempatan.

“Kami akan memastikan mangsa-mangsa yang dipindahkan menerima bantuan wang tunai, makanan dan bahan binaan  untuk membina semula kediaman mereka melalui kerjasama kerajaan tempatan,” kata Datuk Bandar Manila, Honey Lacuna dalam satu kenyataan. – AGENSI