LONDON – Pemilik sebuah restoran di Wales, United Kingdom terpaksa berputih mata apabila dua pelanggan yang makan di premisnya melarikan diri tanpa membayar selepas menikmati pelbagai hidangan berharga £155 (RM880), lapor akhbar Metro UK semalam.
Kejadian berlaku semasa pelancaran restoran The Welsh House di Carmarthen pada 25 Oktober lalu.
Menurut pemiliknya, dua lelaki itu memesan menu stik fillet berharga lebih daripada £30 (RM170) setiap satu, makanan laut, beberapa botol wain serta kopi.
“Dua pelanggan tersebut diberikan masa selama 10 hari untuk membuat pembayaran atau mereka akan dinamakan dan dimalukan secara terbuka,” katanya.
Seorang jurucakap berkata: “Pasukan kami menyediakan hidangan tempatan Wales dengan baik dan melayan pelanggan di Carmarthen.
“Malangnya, dua lelaki itu makan di restoran sebelum meninggalkan premis tanpa membayar bil mereka.
“Kami berkongsikan mengenai kejadian itu di media sosial kerana kami benar-benar berharap ia adalah satu kesilapan dan mereka akan tampil ke hadapan untuk menjelaskan hutang,” tambahnya.
Pemilik restoran telah membuat laporan kepada Polis Dyfed-Powys dan siasatan sedang giat dilakukan. – AGENSI