1.4 juta jemaah wukuf di Arafah hari ini

Cover Haji3 scaled

Sebilangan jemaah tiba di kawasan khemah di Mina kelmarin. – AFP

MEKAH – Lebih sejuta jemaah haji membanjiri kota suci Mekah bagi menunaikan ibadah itu yang bermula semalam di bawah terik matahari, ketika pihak berkuasa Arab Saudi bertungkus-lumus melakukan pelbagai usaha untuk mengelak lebih 1,000 kematian seperti yang berlaku tahun lalu akibat cuaca panas.

Dalam suhu yang dijangka meningkat kepada lebih 40 darjah Celsius, kira-kira 1.4 juta jemaah sudah tiba di Mekah menjelang ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima itu.

Selesai sahaja melakukan tawaf iaitu berjalan tujuh kali mengelilingi Kaabah, jemaah haji menuju ke Mina dan berwukuf di Padang Arafah, tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhir Baginda.

Sebilangan jemaah haji yang tiba dengan bas sudah masuk ke Mina pada petang kelmarin dengan disambut oleh kakitangan yang menawarkan minuman kopi serta kurma.

“Saya sangat gembira, ia adalah perasaan yang luar biasa,” kata seorang rakyat Arab Saudi, Reem al-Shogre, 35, yang menunaikan haji buat kali pertama.

Pada tahun lalu, seramai 1.8 juta umat Islam dari seluruh dunia mengerjakan haji di Mekah, dengan 1,301 orang meninggal dunia ketika suhu mencecah 51.8 darjah Celsius. 

Justeru, pihak berkuasa tahun ini menggerakkan lebih 40 agensi kerajaan dan 250,000 kekitangan untuk menggandakan usaha bagi menangani penyakit berkaitan haba.

Menteri Haji Arab Saudi, Tawfiq al-Rabiah berkata pada minggu lalu, kawasan teduhan diperbesarkan sebanyak 50,000 meter persegi, beribu-ribu doktor tambahan berada dalam keadaan siap sedia dan lebih 400 unit alat penyejuk disediakan.

Beliau turut menggesa jemaah untuk kekal berada di dalam khemah yang ditetapkan ketika berwukuf di Padang Arafah dari pukul 10 pagi hingga 4 petang (waktu tempatan) bagi mengelakkan strok haba.

Sistem penyejukan terbesar di dunia dengan kapasiti keseluruhan 155,000 tan turut diaktifkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tahun ini.

Ia adalah bagi mengekalkan suhu sederhana di antara 22 hingga 24 darjah Celsius. 

Teknologi kepintaran buatan (AI) juga akan membantu menjejaki kebanjiran data dan rakaman, termasuk video daripada kumpulan dron baharu bagi mengurus jemaah haji dengan lebih baik.

Pihak berkuasa berkata, kebanyakan yang meninggal dunia tahun lalu adalah jemaah haji yang tidak berdaftar dan tidak mempunyai akses untuk masuk ke dalam khemah dan bas berhawa dingin.

Justeru tahun ini, pihak berkuasa meningkatkan tindakan keras terhadap jemaah haji yang tidak berdaftar, kerap melakukan serbuan dan pengawasan melalui dron serta mengeluarkan amaran teks.

Permit haji diperuntukkan kepada negara-negara di dunia berdasarkan kuota dan ada yang diagihkan kepada individu melalui pemilihan.

Namun, kos yang tinggi menyebabkan segelintir umat Islam cuba menunaikan haji tanpa permit sah walaupun mereka berisiko ditahan dan dihantar pulang jika ditangkap. – AFP