EPL: Chelsea sambut kepulangan James

CHELSEA 1

JAMES masih belum beraksi dalam mana-mana perlawanan musim ini dan kecederaannya yang sudah pulih membolehkan dia kembali bersaing merebut posisinya. – FB CHELSEA

LONDON – Pengendali Chelsea, Enzo Maresca mengesahkan bahawa pemain pertahanannya, Reece James berpeluang untuk menyertai kesebelasan utama menjelang aksi menentang Liverpool di Anfield malam ini.

James yang mengalami kecederaan sebelum ini kembali menjalani sesi latihan penuh sejak minggu lalu selepas pulih daripada masalah yang dihadapinya ketika aksi pramusim sehingga tidak mampu membuat sebarang debut pada musim ini.

“Kami tidak berdepan masalah, semua pemain berada pada tahap terbaik. Kami memiliki skuad penuh yang mampu untuk beraksi kecuali mereka yang digantung perlawanan.

“James akhirnya sudah kembali. Dia menjalani latihan bersama pasukan utama sepanjang tempoh rehat aksi antarabangsa sebelum ini dan sudah tentu ia menjadi berita baik buat kami dan dirinya.

“Kami sentiasa mencari jalan terbaik. Untuk James, perancangan kami adalah sama seperti yang digunakan kepada Romeo (Lavia) dan Wes (Fofana) apabila mereka mungkin akan digunakan sekali seminggu. James belum benar-benar bersedia untuk aksi dua kali seminggu.

“Kami akan cuba menguruskan masa permainan mereka supaya risiko kecederaan berulang tidak begitu tinggi. Sama ada ia akan berterusan atau sebaliknya saya tidak pasti, tetapi itu yang terbaik buat masa ini,” katanya.

Chelsea turut kehilangan dua pemain iaitu Marc Cucurella dan Fofana pada perlawanan menentang Liverpool apabila kedua-dua mereka digantung satu perlawanan kerana mengutip lima kad kuning setakat ini.

Kepulangan James ke pangkuan pasukan menyaksikan Maresca berdepan dilema ketika pemain di posisi berkenaan, Malo Gusto berjaya mempamerkan aksi yang cukup baik, namun peluang untuk kedua-dua pemain beraksi bersama masih ada. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *