5 negara Asia Tenggara kongsi data keselamatan penerbangan

SEA penerbangan 1

Gambar fail bertarikh 11 November 2005 menunjukkan pesawat Singapore Airlines bergerak melepasi menara kawalan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura. – AFP

SINGAPURA – Lima negara Asia Tenggara hari ini mengumumkan persetujuan untuk berkongsi data dan maklumat penerbangan sesama mereka, termasuk laporan pergolakan udara yang teruk untuk membantu menjadikan perjalanan udara lebih selamat.

Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk melancarkan rancangan itu menjelang akhir tahun ini, demikian menurut pihak berkuasa-pihak berkuasa penerbangan awam dalam satu kenyataan bersama.

Inisiatif tersebut telah dicadangkan tahun lepas tetapi ia mengambil masa untuk negara-negara itu bersetuju tentang perkara yang perlu dikongsi serta menyusun protokol yang akan mengawal kerahsiaan data.

“Dalam inisiatif pertama seumpamanya di Asia Pasifik, lima negara ini akan bekerjasama dan berkongsi data keselamatan serta maklumat keselamatan yang tidak dikenal pasti.

“Ia bertujuan untuk mengenal pasti bahaya dan trend keselamatan serta membangunkan langkah-langkah mitigasi untuk mengurus risiko keselamatan dengan lebih baik,”jelas kenyataan tersebut.

Negara-negara itu mengenal pasti tujuh kategori awal untuk dikongsi termasuk amaran perlanggaran, sisihan daripada ketinggian yang ditetapkan oleh pengawal trafik udara dan pengaktifan sistem amaran di darat.

Laporan pergolakan udara yang teruk, pergerakan burung dan pengangkutan barangan berbahaya juga antara perkara yang akan dikongsi.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand akan bertindak sebagai penjaga data, manakala rakan sejawatnya di Singapura akan menjadi penganalisis data, kata kenyataan itu.

“Data, penemuan dan cadangan daripada analisis maklumat tidak boleh digunakan untuk menyokong penyiasatan nahas dan insiden serta tidak boleh digunakan untuk tujuan punitif atau penguatkuasaan,” tambah kenyataan itu. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *