JAKARTA – Seorang wanita warga Indonesia mengundang perhatian ramai kerana sanggup memasang kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di kampung halaman untuk melihat ibu dan bapanya, lapor portal berita Okezone semalam.
Wanita yang bekerja di Taiwan itu berkata, pemasangan CCTV bertujuan untuk mengubat kerinduan selain memantau ibu bapanya dari jauh.
Klip video yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @puput_dwi27 menunjukkan rakaman CCTV yang dipasang di bahagian dapur, bersebelahan dengan kandang lembu.
Ibu wanita itu sibuk memasak, manakala ayahnya sedang memberi makan kepada lembu peliharaannya.
“Ibu ayah, anakmu rindu,” demikian menurut keterangan video itu.
Rakaman itu mencatatkan lebih tujuh juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.
“Cara untuk dekat dengan ibu bapa di era teknologi canggih! Hebat!” komen seorang netizen.
“Idea yang cemerlang buat perantau!” komen netizen lain. – AGENSI