Lelaki tangkap isteri curang dipenjara enam bulan

pampasan viral

Gambar hiasan. – Lawlex

BEIJING – Seorang lelaki di China dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana menerima wang pampasan daripada kekasih gelap isterinya setelah ‘menangkap’ mereka berdua-duaan di sebuah bilik hotel, lapor portal berita Oddity Central semalam. 

Lu, 33, mengesyaki isterinya berlaku curang selepas wanita itu mengambil masa terlalu lama untuk bersiap sebelum menghantar anak perempuan mereka ke kelas tutor pada Mac 2021. 

Selepas mengekori isterinya pada hari itu, dia menemui wanita tersebut bersama lelaki lain di dalam bilik hotel.

Selepas penemuan mengejutkan itu, Lu ditawarkan wang sebanyak 25,000 yuan (RM15,100) oleh lelaki bernama Liu, sebagai pampasan kerana curang dengan isterinya. 

“Saya menerima tawaran tersebut dan ia akan dibayar secara ansuran selama tiga bulan secara online,” kata Lu.

Dia bagaimanapun terkejut apabila Liu memfailkan aduan terhadapnya di mahkamah dengan menuduh Lu memeras ugutnya. 

“Saya yakin bahawa bekas isteri saya merupakan dalang di sebalik aduan itu kerana dia mahu mendapat kelebihan dalam hak penjagaan anak,” tambah Lu. 

Mahkamah daerah kemudian menjatuhi hukuman penjara enam bulan ke atas Lu kerana memeras ugut kekasih isterinya, selain memaksa lelaki itu untuk membayar ganti rugi. 

Namun, selepas membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Wilayah, Lu akhirnya dibebaskan.

Berdasarkan keputusan hakim, Lu didapati tidak memaksa Liu untuk membayar 25,000 yuan kepadanya, sebaliknya ia dilakukan secara rundingan. 

Selain itu, hakim memutuskan bahawa perbuatan Liu melanggar ketenteraman awam, adat resam dan standard moral, justeru, tindakan Lu adalah wajar. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *