WASHINGTON – Peperangan, hutang, krisis iklim dan pandemik telah menghentikan kemajuan dalam usaha memerangi kemiskinan global, demikian menurut amaran Bank Dunia seperti laporan akhbar The Guardian kelmarin.
Bank Dunia yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat (AS) itu menyatakan bahawa berdasarkan trend semasa, ia akan mengambil masa lebih tiga dekad untuk mengeluarkan hampir 700 juta penduduk miskin atau 8.5 peratus, daripada kancah kemiskinan tegar.
Mereka yang dikategorikan sebagai miskin tegar hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$2.15 (RM9.20) sehari dan definisi itu diterima pakai secara meluas.
Dalam laporan bertajuk Kemiskinan, Kemakmuran dan Planet, Bank Dunia berkata, kemunduran beberapa tahun kebelakangan ini bermaksud matlamat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan kemiskinan tegar menjelang 2030 adalah mustahil dicapai.
Didorong sebahagian besarnya oleh pertumbuhan pesat di China, kadar kemiskinan global menurun daripada 38 peratus pada 1990 kepada 8.5 peratus pada tahun ini.
Bagaimanapun, kadar kemajuan telah terhenti sejak 2019 dan angka itu dijangka berkurang secara sederhana kepada 7.3 peratus menjelang 2030.
Tambah laporan sama, kemiskinan tegar kekal tertumpu di negara-negara dengan pertumbuhan ekonomi rendah dari segi sejarah, dengan kebanyakannya di rantau sub-Sahara Afrika.
Pengarah Urusan Kanan Bank Dunia, Axel van Trotsenburg berkata: “Selepas beberapa dekad kemajuan, dunia sedang mengalami kemunduran serius dalam memerangi kemiskinan global akibat cabaran bersilang. Ia termasuk pertumbuhan ekonomi perlahan, pandemik, hutang yang tinggi, konflik serta kejutan iklim.”
Tambah laporan tersebut, ia akan mengambil masa lebih lama iaitu melebihi satu abad untuk memenuhi objektif bagi meningkatkan pendapatan melebihi AS$6.85 (RM29.40) sehari.Ia dianggap sebagai ambang kemiskinan bagi negara berpendapatan sederhana atas.
Pada masa ini, 3.5 bilion orang iaitu hampir separuh penduduk dunia hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$6.85 sehari. – AGENSI