Kerajaan Pelbagaikan Portfolio Ekonomi Domestik Kurangkan Defisit Pampasan Pekerja

8a877485ec4ae64173c1871fd481d622670fc851e6aec

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Iteenews) — Kerajaan bertindak mengambil langkah mempelbagaikan portfolio ekonomi domestik untuk mengurangkan defisit dalam akaun pampasan pekerja di bawah Akaun Pendapatan Primer Imbangan Pembayaran, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF menjelaskan usaha itu diyakini dapat menyumbang kepada tarikan pelaburan ke arah mewujudkan industri dan aktiviti bernilai tambah tinggi dan berkualiti merentas semua sektor domestik yang seterusnya memberikan lebih banyak peluang kepada kepakaran dan meningkatkan guna tenaga tempatan.

“Selain itu, kerajaan meneruskan usaha meningkatkan produktiviti pekerja melalui pembangunan kapasiti bagi memenuhi keperluan industri di samping menggalakkan penerimagunaan pendigitalan dan automasi,” menurut kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MOF menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai langkah untuk mengurangkan desifit Akaun Pendapatan Imbangan Pembayaran khususnya kompenen pampasan pekerja berikutan penghantaran pulang pendapatan pekerja warga asing dan sumbangan rendah warga Malaysia yang bekerja di luar negara.

Kementerian itu menjelaskan akaun pampasan pekerja telah mencatatkan defisit sejak beberapa dekad disebabkan oleh aliran wang keluar yang lebih tinggi secara konsisten.

Aliran wang masuk bagi akaun pampasan pekerja, iaitu gaji dan faedah lain yang diperoleh warganegara Malaysia yang bekerja di luar negara, menyaksikan trend penurunan pada 2018 hingga 2020 yang masing-masing direkodkan sebanyak RM6.8 bilion, RM6.6 bilion dan RM6 bilion, tambah MOF.

Terimaan bagi akaun pampasan pekerja seterusnya menunjukkan trend peningkatan dengan aliran wang masuk sebanyak RM6.4 bilion dicatatkan pada 2021 dan RM7.1 bilion pada 2022, menurutnya.

Momentum peningkatan dalam aliran wang masuk berterusan pada 2023 iaitu sebanyak RM7.8 bilion.

“Pada separuh pertama 2024, terimaan dalam akaun pampasan pekerja direkodkan sebanyak RM3.8 bilion,” jelas MOF.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *