MUAR – “Meskipun seberat mana dakwaan serta hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah (pemandu) itu, anak saya telah pergi buat selamanya dan tidak akan kembali lagi ke pangkuan keluarga kami.”
Itulah bait-bait yang meruntun jiwa diluahkan oleh Md. Tukirin Saringat, 60, bapa kepada Muhammad Akmal, 25, salah seorang mangsa nahas kemalangan melibatkan tiga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang maut di langgar sebuah SUV pada 9 Oktober lalu.
“Kami sekeluarga sudah redha akan pemergian Allahyarham Akmal namun kehilangannya masih lagi berbekas di hati kami sampai bila-bila. Biarpun pemandu itu telah di dakwa atas kesalahan membunuh hari ini, ia seperti tidak dapat mengubat duka dan lara kami dengan pemergian anak kami.
“Anak kami tetap tidak dapat kembali ke pangkuan kami sekeluarga. Dia telah pergi buat selamanya,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Md. Tukirin dan isteri, Rafeah Buang, 52, mereka menyerahkan segala siasatan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes kematian anaknya secara telus dan adil.
Sementara itu, pemandu SUV, Norizan Ismail, 49, yang melanggar ketiga-tiga pelajar UiTM berkenaan sehingga maut telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Dungun hari ini atas tiga pertuduhan membunuh tiga pelajar berkenaan pada minggu lalu.
Surirumah berkenaan turut didakwa melakukan cubaan membunuh terhadap Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, seorang lagi pelajar yang cedera dalam kejadian berkenaan.-https://amiminerals.org/