KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui Program Ziarah PTPTN Prihatin menziarahi waris kepada salah seorang mangsa tragedi kemalangan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu iaitu Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pada sesi ziarah tersebut, PTPTN memberikan surat pengesahan penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman bagi pengajian peringkat Ijazah Allahyarham berjumlah RM7,092.51.
Selain itu, PTPTN turut menyerahkan khairat kematian berjumlah RM1,500 melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN.
“Ketabahan keluarga Allahyarham dalam menghadapi tragedi ini adalah sesuatu yang sangat menginspirasikan. Kami di PTPTN ingin menyampaikan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham.
“Semoga dengan sumbangan ini, dapat memberikan sedikit kelegaan dan sokongan kepada waris Allahyarham dalam waktu yang sukar ini,” katanya di sini hari ini.
Selain itu katanya, PTPTN turut menyerahkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berupa wang tunai berjumlah RM2,000 dan sumbangan kotak makanan kepada waris Allahyarham.
“Setiap sumbangan yang berikan adalah tanda keprihatinan PTPTN dan harapan untuk masa hadapan yang lebih baik bagi keluarga yang terlibat,” ujarnya.
Terdahulu, Khairil Anwar bersama dua lagi rakannya, Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 meninggal dunia dalam satu kemalangan berhampiran kampus UiTM.
Sementara seorang lagi rakan mereka, Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20, cedera parah.- https://amiminerals.org/