Gumpalan putih misteri di pantai bingungkan saintis

Ottawa ganjil

GUMPALAN putih ditemui di pantai Newfoundland. – Foto BBC/Stan Tobin

OTTAWA – Gumpalan putih misteri ditemui di pantai-pantai sekitar Newfoundland selama lebih sebulan sehingga mencetuskan siasatan oleh pihak berkuasa Kanada, lapor laman berita MailOnline semalam. 

Pihak berkuasa dan saintis bingung dengan kemunculan gumpalan itu secara tiba-tiba.

Pada kebiasaannya, ia ditemui dalam keadaan diliputi rumpai laut, pasir dan kerikil. 

Seorang penduduk tempatan, Stan Tobin berkata, gumpalan itu yang mula muncul sekurang-kurangnya pada 7 September lalu digambarkan mempunyai bau seperti minyak sayuran.

Seorang lagi penduduk Newfoundland, Philip Grace berkata, ia kelihatan seperti doh ‘touton’ yang merujuk kepada biskut goreng versi tempatan.

Seorang saintis Jabatan Perikanan dan Lautan Kanada memberitahu laman berita Globe and Mail: “Kami agak pasti bahawa bahan misteri yang telah mendapat perhatian media ini bukanlah span laut dan ia tidak mempunyai sebarang bahan biologi. 

“Kami tidak fikir ia adalah span kerana ada orang yang cuba menyalakannya menggunakan api dan ia terbakar. Kami berpendapat mesti ada beberapa jenis minyak di situ (gumpalan itu).”

Ketika ini, semua saintis terlibat boleh mengesahkan bahawa gumpalan itu tidak diperbuat daripada sebarang bentuk hidrokarbon petroleum, pelincir petroleum, biofuel atau biodiesel. 

Namun, lebih banyak ujian perlu dilakukan dan ia dijangka mengambil masa sehingga sebulan untuk diselesaikan. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *