Kimia Malaysia, Bernas jalin kerjasama tingkat aktiviti penggredan beras

bernas

Kakitangan Kimia Malaysia dan Bernas bergambar selepas majlis menandatangani Nota Kerjasama antara kedua-dua pihak hari ini.

PETALING JAYA – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) telah memeterai Nota Kerjasama dengan Jabatan Kimia Malaysia (Kimia Malaysia), bagi melaksanakan ujian perbandingan antara makmal (interlaboratory comparisons, ILC) dan ujian kemahiran untuk aktiviti penggredan beras.

Melalui kerjasama ini, Kimia Malaysia berkata, pihak akan menyokong Bernas dalam membangunkan kaedah, menyediakan latihan penganalisaan ke atas sampel beras.

Selain itu katanya, ia turut membincangkan isu-isu berkaitan penganalisaan beras untuk tujuan ujian perbandingan antara makmal di samping meningkatkan ujian kemahiran bagi analisis beras.

“Ini merupakan inisiatif yang pertama seumpamanya di negara ini kerana tiada penyedia program ujian perbandingan antara makmal yang lain bagi skop penggredan beras,”katanya di sini hari ini.

Kata kenyataan itu lagi, Makmal Bernas yang merupakan makmal pertama diiktiraf di Malaysia dan rantau Asia Tenggara melalui ISO17025 bakal mengukuhkan lagi usaha untuk meningkatkan kualiti beras secara keseluruhan di negara ini.

Selain itu katanya, ia memastikan konsistensi, kebolehpercayaan dan pematuhan kepada spesifikasi berdasarkan standard yang ditetapkan.

Terdahulu, nota kerjasama itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bernas, Zulkiflee Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Kimia Malaysia, Marhayani Md Saad.

Majlis itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Aminuddin Hassim dan Pengerusi Bernas, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Aminuddin dalam ucapan pada majlis itu berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama di antara Bernas dan Kimia Malaysia di dalam ILC dan ujian kecekapan yang julung kali diadakan untuk penggredan beras.

“Kami yakin inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada perubahan ke atas industri padi dan beras negara.

“Sekaligus memberikan kesan yang positif kepada kualiti, keselamatan makanan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan padi dan beras dalam jangka masa panjang,”katanya.

Tambah beliau, kerjasama itu juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi yang didorong oleh sains, teknologi dan inovasi (STI) sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan negara.-https://amiminerals.org/.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *