LIVERPOOL – Bekas pemain dan pengurus Liverpool, Graeme Souness mengakui beliau tidak terkejut sekiranya dua pemain bintang kelab itu, Mohamed Salah dan Trent Alexander-Arnold meninggalkan Anfield musim panas tahun depan.
Transisi pengurus daripada Jurgen Klopp ke era Arne Slot tidak memberikan kesan besar apabila Liverpool berjaya meraih 18 mata dalam tujuh perlawanan dan kini muncul pendahulu Liga Perdana Inggeris.
Bagaimanapun, Souness mengakui bimbang mengenai keputusan dan cara yang akan digunakan oleh Slot dalam mengatasi situasi beberapa pemain tonggak mereka yang semakin hampir ke penghujung kontrak.
Selain Salah dan Alexander-Arnold, Virgil Van Dijk juga antara pemain yang memasuki tahun terakhir kontrak mereka di mana mereka bebas untuk mengadakan rundingan bersama kelab baharu pada 1 Januari nanti.
Souness menjangkakan Van Dijk akan terus kekal, namun Salah dan Alexander-Arnold mungkin sukar untuk dipertahankan apabila terdapat minat daripada kelab dari Arab Saudi dan Real Madrid untuk kedua-dua pemain berkenaan.
“Prestasi pasukan bukanlah isu yang dibimbangi oleh para peminat, tetapi mereka lebih risau mengenai masa depan tiga pemain berkenaan yang berada di hujung kontrak. Hanya ada tempoh dua bulan sebelum mereka mendapat hak untuk mengadakan rundingan dengan kelab baharu.
“Trent mempunyai hubungan yang baik dengan (Jude) Bellingham di Real Madrid. Itu antara faktor yang tidak akan mengejutkan saya jika Trent meninggalkan Liverpool.
“Tetapi, saya akan terkejut jika Salah kekal kerana saya percaya ada tawaran mega menantinya dan sebagai seorang Muslim, Arab Saudi adalah destinasi yang sesuai dan dia mampu meraih wang yang banyak untuk tempoh tiga atau empat tahun lagi kariernya,” jelasnya. – AGENSI