SIK – Rata-rata mangsa banjir memberitahu mereka sudah lelah dan merayu agar kerajaan dapat memikirkan kaedah terbaik dalam menangani bencana itu daripada terus berlaku.
Menurut Azizan Zainal, 58, dari Kampung Kemelong, di sini, rumahnya dinaiki air saban tahun dan kejadian pada malam Sabtu lalu adalah yang paling teruk dalam tempoh tiga tahun.
“Hanya orang yang pernah hadap banjir dapat rasa betapa penatnya kami lalui bencana ini, bukan kerja mudah nak cuci rumah yang penuh dengan lumpur.
“Selain penat, kami juga hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan lebat kerana takut air Sungai Chepir melimpah lagi dan masuk ke dalam rumah,”katanya yang hanya melakukan kerja-kerja kampung.
Dia berharap kalangan pakar dapat memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah banjir yang menghantui penduduk setelah sekian lama.
“Kami orang kampung ini berharap kerajaan dapat buat sesuatu kerana sampai bila kami perlu hadap banjir. Kejadian banjir pula saya tengok semakin teruk, sejak kebelakangan ini.
“Kalau nak kata sungai tak dalam, kerajaan sudah lebar dan dalamkan sungai ini tetapi masih tidak dapat tampung kapasiti air sehingga melimpah ke rumah penduduk. Mungkin perlu ada langkah lain seperti projek tebatan banjir,”ujarnya.
Dia mengakui fenomena alam iaitu hujan lebat berterusan menjadi faktor kepada kejadian banjir, namun kerajaan perlu mempunyai perancangan jangka masa pendek dan panjang demi kepentingan rakyat.
“Selain itu, aktiviti pembalakan di hutan simpan juga perlu dihentikan serta merta. Bagi kawasan yang telah digondolkan kerajaan kena pastikan ia ditanam dengan tumbuhan tutup bumi. Rumah saya terletak di tepi sungai, jadi memang bimbang berlaku kepala air seperti di Kampung Iboi, Baling,”katanya.
Seorang lagi penduduk, Ruziah Mahamud, 55, juga berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu bagi mengelakkan bencana itu daripada terus menghantui penduduk di situ.
“Memang banjir ini sudah jadi benda biasa buat kami, namun sampai bila? Kalau tiada lagi cara untuk cegah banjir, saya mohon agar kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan rumah di tanah sendiri,”katanya.
Suri rumah itu juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan wang tunai kepada mangsa banjir yang tidak ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sepertinya. – https://amiminerals.org/