TERAJU Peruntuk Bahagian Terbesar Daripada Dana RM100 Juta Kepada microLEAP

8d917de8c098786374270cadaa16d15366039c0141e70Tunku Danny Nasaifuddin Muzaffar

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Iteenews) — Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memperuntukkan dana RM100 juta kepada platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) terkemuka di Malaysia, dengan bahagian terbesar diberikan kepada microLEAP.

MicroLEAP adalah platform pembiayaan P2P yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Menerusi kenyataan pada Isnin, microLEAP menjelaskan peruntukan itu, yang merupakan sebahagian daripada Program Pembiayaan Projek Modal Kerja Islam (i-WCPF), mencerminkan keyakinan TERAJU terhadap peranan penting pihaknya dalam memajukan landskap ekonomi bumiputera.

“Program i-WCPF, yang disesuaikan khusus untuk perusahaan bumiputera, menyediakan penyelesaian pembiayaan Islam yang inovatif, termasuk pembiayaan prainvois dan pascainvois berdasarkan prinsip Syariah Komoditi Murabahah melalui Tawarruq,” tambahnya.

MicroLEAP memaklumkan dana itu menyasarkan sektor berpotensi tinggi seperti, tetapi tidak terhad kepada, tenaga boleh baharu (TBB), teknologi dan digital, elektrik dan elektronik, pertanian dan berasaskan agro, serta industri logam nadir.

Usaha itu akan membolehkan perniagaan mencapai pertumbuhan mampan pada kadar keuntungan kompetitif, mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan konvensional, tambahnya.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata pembiayaan itu merupakan detik penting bagi pihaknya, kerana membolehkan microLEAP memberikan impak nyata kepada komuniti bumiputera.

“Hubungan sekian lama kami dengan TERAJU menjadi kunci dalam merealisasikan inisiatif ini, dan bersama-sama, kami komited untuk memperkasakan usahawan bumiputera dengan sumber yang mereka perlukan untuk meningkatkan penyertaan dalam ekonomi tempatan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Junady Nawawi berkata pelaburan itu sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama Malaysia 2021-2030, sekali gus mengukuhkan komitmen TERAJU untuk berkhidmat kepada komuniti bumiputera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *