500 pesawah Sungai Besar resah bendang ditenggelami air

PESAWAH

PESAWAH menunjukkan keadaan sawah yang ditelenggami air di Parit 6 Timur, Sungai Besar, hari ini.

SABAK BERNAM – Lebih 500 pesawah di Parit 5 hingga Parit 9 Timur, Sungai Besar di sini, resah apabila tanaman padi mereka berisiko tinggi musnah selepas bendang ditenggelami banjir, sejak kelmarin.

Keadaan itu berpunca daripada kerosakan tiga daripada empat pam air padi milik Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor yang tidak diselenggara dengan baik.

Pesawah, Khairul Idham Mahyudin, 36, berkata kawasan sawah miliknya seluas 7.2 hektar di Parit 7 Timur masih digenangi air yang belum surut.

“Kini, ia memasuki hari ketiga air dan saya bimbang tanaman padi berisiko mati dalam tempoh sehari atau dua hari lagi. Lebih teruk apabila pam yang sepatutnya mengalirkan air ke parit pula tidak dapat digunakan dan sudah rosak,”katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

“Kami juga bimbang kerana pokok padi yang ditanam baru berusia 10 hari dan jika rosak, kami perlu belanjakan kos melebihi RM3,000,”ujarnya.

Bagi Roslan Hassan, 56, pihak berkaitan wajar mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu pam air itu sekali gus mengelak bendang pesawah dinaiki air pada musim hujan.

“Kerja penyelenggaraan sepatutnya dilakukan sejak awal terutamanya dalam keadaan cuaca tidak menentu. Kami sebagai pesawah amat bergantung dengan padi sebagai sumber pendapatan dan mahu ia segera diselesaikan,”ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail berkata, pihaknya turut meninjau isu yang dibangkitkan semua pesawah itu dan meminta IADA Barat Laut Selangor segera membaiki mesin itu.

“Kita juga mohon Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan kerja pembersihan parit buang bagi mengelakkan aliran air tersekat yang mengakibatkan banjir,”katanya. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *