ALOR SETAR – Kejadian hujan lebat di Kedah menyebabkan paras takungan Empangan Muda mencapai tahap 100 peratus penuh iaitu 100.59 meter pada pukul 10.30 malam tadi.
Menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Korporat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), paras air terus meningkat kepada 101.13 meter dengan kadar alir limpahan sebanyak 65.16 meter padu sesaat.
“Limpahan itu akan mengalir melalui lembangan Sungai Muda dan tidak akan memasuki kawasan sawah. Sehubungan itu, pihak MADA telah mengambil tindakan dengan memberi maklumat awal kepada pihak terlibat berhubung kedudukan semasa takungan Empangan Muda serta maklumat limpahan yang berlaku.
“Pihak MADA sentiasa melaksanakan pemantauan dan akan memaklumkan kepada agensi berkaitan sekiranya limpahan mencapai paras berbahaya, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Tindakan Kecemasan Keselamatan Empangan MADA,”katanya hari ini.
Kata kenyataan itu, turunan hujan lebat sejak kebelakangan ini meningkatkan paras dan takungan di ketiga-tiga empangan di bawah seliaan MADA.
“Secara puratanya, turunan hujan di tadahan Empangan Pedu, Muda dan Ahning adalah masing-masing sebanyak 67 mm, 130 mm dan 47mm,”ujarnya.
Ujarnya, sehingga semalam, status keseluruhan kedudukan semasa takungan tiga empangan tersebut adalah sebanyak 769,889 ekar kaki bersamaan 62.95 peratus.
“Kapasiti takungan Empangan Pedu adalah sebanyak 444,250 ekar kaki bersamaan 50.77 peratus, Empangan Muda sebanyak 121,675 ekar kaki bersamaan 97.34 peratus dan Empangan Ahning sebanyak 203,964 ekar kaki bersamaan 91.46 peratus,”jelasnya. – https://amiminerals.org/