MELAKA – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengambil inisiatif bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan negeri ini bagi melaksanakan Program Santuni MADANI yang bertujuan meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat setempat melalui libat urus secara langsung antara pemimpin dengan masyarakat.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, program yang berlangsung selama dua hari itu membawa beberapa agenda utama di bawah program-program dilaksanakan termasuk Program Hari Bertemu Rakyat di Kampung Bukit Bayan, Program Jiwa Murni, dan Program Veteran Desa Madani (VDM).
Katanya, Program Santuni MADANI itu memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk menyampaikan pelbagai perkara bagi dibincangkan bersama-sama semua peringkat agensi kerajaan negeri, persekutuan dan masyarakat termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Program ini merupakan kolaborasi antara MINDEF, termasuk Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dengan agensi kerajaan negeri serta penduduk setempat, sesuai dengan teras keempat kita iaitu menghubungkan anggota pertahanan bersama masyarakat awam.
“Pengisian Program Santuni MADANI turut memuatkan Pameran Kesihatan dan pemeriksaan gigi daripada Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pelbagai kaunter perkhidmatan awam termasuk Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Pejabat Daerah Tanah Melaka Tengah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Program Santuni MADANI Peringkat Negeri Melaka di Masjid Raudhatul Jannah Bukit Bayan.
Pada program itu, beliau turut menyampaikan lesen percuma kepada 50 orang terpilih serta 200 Bakul Rahmah kepada penduduk kampung dan kariah masjid.
Mengulas lanjut beliau berkata, Program Santuni MADANI itu penting untuk mencapai pertahanan menyeluruh dengan pengisian-pengisian yang membuka ruang kepada masyarakat umum mengenali ATM dengan lebih dekat.
“Pada Program Jiwa Murni, kita melaksanakan aktiviti membersihkan kawasan masjid yang dianjurkan Rejimen 514 Askar Wataniah.
“Selain itu, di bawah Program VDM, pula kita menyantuni dua veteran ATM di kawasan berhampiran sebagai menghargai perjuangan mereka yang telah meluangkan masa sihat untuk mempertahankan negara,” ujarnya.
Sementara itu, veteran Pegawai Waran I (Bersara) Md. Sharif Amat, berkata, inisiatif dilakukan oleh MINDEF itu membuktikan golongan veteran tidak pernah dilupakan, malah peranan mereka dalam masyarakat terus diperkasakan.
“Di Melaka ini kita mempunyai kira-kira 14,000 ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dan kami aktif melakukan program-program kemasyarakatan termasuk membantu ahli veteran kurang upaya.
“Kerjasama antara ATM dengan orang awam, yang turut melibatkan golongan veteran adalah satu penghargaan buat kami yang mana meskipun sudah tidak berkhidmat secara rasmi tetapi kehadiran kami masih diperlukan dalam mengukuhkan hubungan baik bersama masyarakat,” katanya.
Pegawai Waran II (Bersara), Mohd. Yusof Mansor, turut meluahkan rasa berterima kasih kepada MINDEF yang sudi menyantuni golongan veteran di setiap negeri.
“Pada program Santuni MADANI ini kami dapat bersama-sama membantu masyarakat mengetengahkan permasalahan dihadapi di kampung masing-masing kepada pemimpin dan wakil rakyat.
“Sehingga kini, suara kami masih lagi didengari dengan sebahagian turut dilantik menjadi jawatankuasa JPKK atas kepercayaan diberikan sebagai seorang veteran tentera,” katanya.-https://amiminerals.org/