Jadi \’ketua keluarga\’ selepas suami terlantar

LEAD prihatin

SHARINA (kanan) dibantu anaknya Mohd. Shahril menguruskan keperluan harian suaminya yang terlantar di rumahnya di Felda Sungai Tekam Utara, Jerantut baru-baru ini.

JERANTUT – Seorang wanita Sharina Abd. Razak, 61, buntu memikirkan keperluan suami­nya, Kasim Saad, 69, yang kini semakin uzur dan terlantar di rumah selain amat memerlukan mesin oksigen, katil dan kerusi roda.

Menurutnya, suami yang terlantar turut memerlukan susu khas, lampin pakai buang serta rawatan berkala di hospital.

“Kini dia berdepan kesukaran pernafasan dan perlu bantuan mesin oksigen, namun saya tidak mampu menyediakan peralatan berkenaan.

“Ini kerana wang rawatan termasuk pengangkutan menyewa ambulan sudah mencecah RM6,000 sehingga kini.

“Saya terpaksa menggunakan wang simpanan untuk membeli susu khas berharga RM125 setin yang cuma dapat bertahan lima hari, bermakna setiap bulan suami saya memerlukan seba­nyak enam tin dengan kos RM750 tidak termasuk peralatan kebersihan diri lain.

“Saya tidak mampu membeli peralatan diperlukan kerana pendapatan hasil sawit kian menurun akibat pokok tua dan hasil jualan juga digunakan melunaskan pelbagai bayaran lain,” katanya di sini baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai keadaan suaminya, Sharina berkata, segala-galanya bermula dua bulan lepas selepas kaki kanan suaminya tidak dapat digerakkan.

Katanya, keadaan suaminya semakin teruk selepas hanya mampu mengangkat tangan kanan de­ngan perlahan.

“Selepas itu, dia tidak mampu bercakap, sekali gus mengubah kehidupan keluarga kami yang kini hanya bergantung penuh kepada saya.

“Selain itu, suami turut me­ngalami masalah pernafasan sehingga dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh pada Ogos lalu,” katanya.

Dia memberitahu, suaminya kemudian dikesan mengalami pendarahan di bahagian dalam kepala dan terus dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk menjalani
pembedahan.

“Saya difahamkan oleh doktor suami perlu dibedah untuk membuang darah beku dan selepas pembedahan dia tidak sedarkan diri selama 10 hari.

“Dalam dalam tempoh tiga minggu rawatan di HTAA Kuantan, baru dia dibenarkan pulang ke rumah.

“Selepas pembedahan membuang tempurung kepala bagi membuang darah beku, dia ­terus terlantar serta semakin uzur,” ujarnya.

Bagaimanapun ujarnya, dia masih sedar dan mengenali sebahagian jiran tetapi hanya mampu mengangkat tangan kanan dan tidak boleh bercakap.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Sharina di talian 016 8209535.

Di samping itu, mereka juga boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0699541100206040 (Kasim Saad).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *