JAKARTA – Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh, manakala sembilan lagi cedera selepas bot laju yang dinaiki mereka meletup dan terbakar di perairan wilayah Maluku Utara, lapor agensi berita Xinhua semalam.
Seorang pegawai kanan, Abdul Muis Uma berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.05 petang (waktu tempatan) di Pulau Taliabu.
“Bot yang dinaiki calon Gabenor Maluku Utara, Benny Laos dan ahli rombongannya terbakar selepas ia berlabuh di pelabuhan untuk mengisi minyak, sebelum meneruskan perjalanan untuk berkempen.
“Lima orang maut, sembilan cedera dan beberapa lagi masih terperangkap di dalam bot,” tambah Abdul.
Rakaman yang dikeluarkan menunjukkan bot itu hangus dijilat api menyebabkan mangsa yang terperangkap dipercayai terkorban.
Abdul bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai bilangan mangsa yang tidak dapat melarikan diri dan jumlah sebenar orang di atas kapal.
Ketua Unit Logistik bagi Agensi Pengurusan dan Mitigasi Bencana Wilayah, Yusri Abdul Kasim memberitahu Xinhua bahawa letupan berlaku sejurus sebelum kebakaran.
“Kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan,” kata Yusri.
Dalam pada itu, laman berita Detik melaporkan, mayat Benny akan diterbangkan ke Jakarta pagi ini. – AGENSI