SHAH ALAM – Kegiatan sepasang suami isteri dan dua beranak mencuri kabel pada awal pagi tidak berpanjangan apabila mereka dicekup bersama seorang lagi individu semalam.
Tiga lelaki dan dua wanita tempatan berusia 24 hingga 47 tahun itu diberkas di Kawasan Perindustrian Hicom Glenmarie di sini kira-kira pukul 4.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, perkara itu disedari sewaktu anggota Balai Polis Bukit Jelutong membuat rondaan cegah jenayah di lokasi tersebut.
Anggota polis mengesan dua buah kereta dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan lanjut menjumpai sejumlah kabel milik Telekom Malaysia (TM) dipercayai dicuri dan peralatan memotong kabel.
“Dua daripada suspek yang ditahan merupakan pasangan suami isteri, manakala dua lagi suspek adalah ibu dan anak,”katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Mohd. Iqbal, siasatan mendapati suspek bekerja sebagai pemandu lori dan operator kilang. Semakan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah selain dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Kesemua suspek direman antara dua dan tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,”ujarnya. – https://amiminerals.org/